Make your own free website on Tripod.com
Forum Gejala Murtad PMIUM panas

PAS tunjuk bukti Umno tolak hudud

KUALA LUMPUR: Wakil PAS, Ustaz Nasaruddin Daud mendedahkan kepada para
hadirin kenyataan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad yang menolak pelaksanaan
Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan (hukum hudud). Pendedahan Ustaz Nasharuddin ini
disambut laungan takbir lebih 1,000 hadirin.

Ketika membidas sindiran wakil kerajaan, Mustafa Taib, beliau membacakan beberapa
kenyataan Dr. Mahathir yang menolak secara terang-terang pelaksanaan hukum hudud.

Forum Ad-Diin anjuran Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM) panas seketika apabila
wakil PAS menjawab satu persatu hujah wakil kerajaan, Mustapha Taib.

Ustaz Nasharuddin membacakan isi kandungan surat amaran Perdana Menteri kepada
Menteri Besar Kelantan yang melarang Kerajaan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah
Syariah (II) Kelantan sebagai bukti Pusat menghalang hukum hudud dilaksanakan di
Kelantan.

Surat amaran Perdana Menteri itu berbunyi: "Kerajaan Malaysia yang sentiasa
mempertahankan ajaran-ajaran Islam tidak membenarkan Kerajaan PAS menjalankan
sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan yang ditentukan oleh Islam. Jika PAS
cuba untuk menguatkuasakan undang-undang ini yang jelas sudah bercanggah dengan
prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan memgambil tindakan sewajarnya
terhadap Kerajaan PAS  demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam."

Selepas Ustaz Nashruddin membacakan surat tersebut, ia segera  disambut dengan
laungan takbir berkali-kali.Beliau meneruskan bidasannya kepada wakil kerajaan yang
memandang remeh terhadap usaha PAS membela nasib umat Islam yang sedang dilanda
riddah.

Katanya, dalam suasana penuh mencabar ini, sepatutnya seluruh umat Islam bersatu
menghadapi jenayah murtad ini tanpa mengira fahaman parti politik. "Kalau Umno kata
umur 18 tahun ni tak betul. Sila buat hudud yang boleh sabit untuk umur 16 atau 17. Ini
yang 15 tahun tak buat. Hak 50 tahun pun dia tak bagi," ujar beliau dan disambut gelak
ketawa hadirin.

Ustaz Nasharuddin turut mengajak umat Islam di negara ini supaya memahami Surah al-
Maidah ayat 44, 45 dan 47 sambil menjauhkan diri mereka dari golongan orang yang
zalim kerana dikhuatiri akan dipercik oleh api neraka.

Sebelum itu, seorang hadirin, Saudara Zuhdi Marzuki ketika mengajukan soalan kepada
ahli panel turut meminta wakil kerajaan, Mustapha Taib agar memikirkan semula
pandangannya selama ini. (TMJ)
Harakah Isnin 15 Jun 1998