Make your own free website on Tripod.com
DIMANAKAH LETAKNYA KEBENARAN DAN KECANTIKAN SUARA MAT SABU

oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad

Sumber : HARAKAH 29-MEI-1995 bersamaan 29 ZHJ 1415

Salah satu pendekatan yang paling popular yang diambil oleh parti politik dalam pilihanraya umum 1995 yang baru sahaja berlalu, bertujuan memujuk para pengundi ialah melalui ceramah yang disampikan oleh tokoh dan pemimpin parti.

Sebagai seorang sasterawan saya amat meminati ceramah ini; terutama ceramah yang disampaikan oleh pihak pembangkang kerana di situ sajalah dapat saya mengetahui isu semasa yang tersembunyi dan yang sengaja dirahsiakan kerana sebab tertentu.  Di situ sajalah saya dapat mengetahui jenis dan bentuk penyelewengan yang berlaku dalam negara saya.  Di lain-lain sumber terasa benar pintunya disuruh tertutup kejap.

Kita semua, termasuk saya, sewajarnya amat benci pada penyelewengan apa saja kerana pada hemat kita, apa saja penyelewengan dalam apa jenis dan bentuk pun adalah kejam dan tidak adil serta sekaligus merampas hak rakyat dan sekaligus lagi mendedahkan bagaimana rendah dan kotornya akhlak para penyeleweng.

Lebih-lebih lagilah kalau penyelewengan itu diamalkan oleh para pemimpin yang diberi amanah dan tanggungjawab oleh rakyat.  Mereka telah terang-terang menganiaya rakyat yang mencurahkan harapan kepada mereka.  Mereka adalah orang harapan rakyat dan tugas mereka yang utama adalah memberi kesejahteraan kepada rakyat; bukan menyusah dan menzalimi rakyat.

Salah seorang penceramah yang saya minati ialah sekarang ini menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian iaitu YB Tuan Haji Muhamad Sabu.  Saya sendiri tidak bertemu tokoh ini tetapi tokoh ini sememangnya dikenali umum di mana-mana.  Saya dapati beliau adalah antara tokoh yang menjadi sasaran kutukan yang hebat oelh pihak tertentu; terutama pihak yang terlibat dalam pelbagai jenis dan bentuk penyelewengan dan yang tak adil terhadap rakyat kerana belaiu banyak mendedahkan rahsia dan hal-hal sulit tentang penyelewengan, tapi sebaliknya saya dapati beliau amat disayangi pula oleh rakyat terbanyak; terutama golongan rakyat di kampungkampung yang sama seperti kita, bencikan penyelewengan dan bencikan pemimpin-pemimpin korup dan karut.

Sebagai seorang sasterawan yang prihatin terhadap tokoh dan ketokohan jenis yang dibenci dan disayangi ini, memang pun saya amat berminat kerana ianya akan menjadi model dalam pengkaryaan kelak.  Tapi sayangnya apa yang kita dengar dan lihat ialah kebencian dan makihamun terhadap Yang Berhormat Kubang Kerian ini kerna pihak yang bencikan pendedahan penyelewengan ini mempunyai kuasa dan boleh memperalatkan apa saja perkakas dan wadah untuk memburukan tokoh ini; terutama perkakas dan wadah seperti media massa elektronik dan cetak.

Kaedah dan jenis yang berbagai khusus untuk memburuk-burukkan dan membusuk-busukkan tokoh ini begitu melampau dan kejam sekali dan umum memang mengetahuinya; malah nampak bagaikan ada yang cuba berkali-kali menahan perangkap dipergentingan untuk menjebak tokoh ini, tapi kebenaran melindunginya juga.  Ada-ada sajalah payung yang terjun untuk melindunginya.

Sebaliknya rakyat yang meminati ceramah tokoh ini tidak dapat menyatakan rasa mereka kerana mereka tidak ada perkakas dan wadah untuk menyatakannya selain cakap-cakap di kedai kopi, di balaisah-balaisah, tempat-tempat kenduri dan sebagainya tapi dalam tinjauan saya sepintas lalu sememangnya ceramah tokoh ini amat diminati sekali.  Ribuan datang dari jauh dan dekat untuk mendengar ceramahnya.

Saya sendiri telah berusaha menjaga beberapa malam, mengikuti sekurang-kurangnya enam ceramah beliau iaitu satu di Batu Lima Sik, Kampung Ceper Sik, Jeneri Jeniang, Baling dan dua lagi di Alor Setar.  Dan dalam setiap ceramah beliau itu ribuan rakyat bersesak-sesak berkumpul untuk mengetahui jenis dan bentuk penyelewengan yang sedang gawat berlaku dalam negara kita yang sama-sama kita sayangi ini.  Seperti yang telah saya tegaskan, hanya dari mulut tokoh ini sajalah dapat rakyat mengetahui penyelewengan yang berlaku.  Sumber lain tertutup rapat. Sebagai seorang sasterawan saya cukup sedari hakikat ini.

Sebenarnya ada dua isu yang telah menjadikan Mohamad Sabu sebagi sasaran dan objek maki hamun yang bertubi-tubi dari banyak pihak.

Pertama perihal tuduhan khalwat tapi perihal ini telahpun diselesaikan dengan sahih.  Dan bagi kita yang yakin pada proses undang-undang, tuduhan ini telah pun diselesaikan dengan yakinnya.

Kedua ialah perihal siri cermah belaiu yang amat digemari oleh rakyat tapi amat dibenci oleh pihak tertentu sehingga  beliau telah menjadi sasaran cerca mencerca, fitnah menfitnah dan maki hamun setiap detik.  Aspek siri ceramah belaiu inilah yang menarik perhatian saya sebagi seorang sasterawan.

Mengapakah saya juga amat meminati ceramah-ceramah YB ini?

PERTAMA tentulah tentang isu yang dibawanya iaitu perihal penyelewengan demi penyelewengan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak pernah diketahui rakyatkerana tidak pernah diumumkan di mana-mana pun; malah sebaliknya banyak yang hendak disorok-sorok pula.  Ini tremasuklah keperihalan penyelewengan agihan saham-saham, penyelewengan penjualan dan pengambilan tanah-tanah, krisis-krisis dalaman yang sengit lagi gamat kerana perebutan kuasa yang bersifat sementara; pertumbuhan dan pengembangan sifat-sifat hasad dengki di kalangan orang-orang politik dalam satu parti, soal kerendahan dan kehuduhan akhlak para pemimpindari berbagai aspek termasuk ketidakupayaan mengawl nafsu sendiri dan berbagai lagi kekecohan yang sebelumnya tidak pernah diketahui umum.  Isu-isu seperti ini tentulah mata diminati rakyat, termasuk sasterawan macam saya ini yang memang suka benar mengenali orang-orang seperti ini.

KEDUA yang juga sama menarik ialah isu-isu penyelewengan yang didedah dan dibongkarkan pelh YB ini bukan sekadar dislogan, digembar-gembur dan dimuntah-muntahkan secara sambil lewa dan  umum seperti yang selalu kita dengar. Tidak.  Beliau memberi perincian-perincian yang amat teliti dan tersusun rapi.  Satu persatu setiap penyelewengan itu dirombak, dikupas dan dihidangkan untuk tatapan dan analisis pendengar dengan fakta-fakta dan maklumat-maklumat yang tuntas lagi lengkap sehingga menyakinkan dan terbukti benar penyelewengannya.

Jelas bahawa dengan kaedah memperincikan isu-isu ini, beliau sebenarnya telah membuat penyelidikan terlebih dahulu dan beliau benar-benar mengetahui persoalan yang dibawanya.

Dalam enam ceramah yang saya ikuti itu, beliau tidak pernah mengemukakan isu-isu penyelewengan secara serkap jarang.  Beliau tidak pernah menuduh membuta tuli tapi selalu berlandaskan fakta-fakta dan maklumat-maklumat yang cukup menyakinkan bagi pendengar yang cintakan kebenaran dan bencikan penyelewengan.  Sebagai seorang sasterawan dan ahli akademik saya cukup tertarik dengan pendekatan beliau ini.

KETIGA beliau benar-benar berjaya menyakinkan para pendengar kerana isu-isu yang dibawa itu ada bukti nya yang jelas.  Perihal yang dibawanya memang berat sekali tapi hingga setakat ini saya dapati tidak ada mana-mana pihak yang menafikannya.  Beliau tidak pernah dibawa kemahkamah akibat dari pendedahan penyelewengan ini. (Beliau pernah dibawa ke mahkamah atas tuduhan berkhalwat tetapi perkara ini telah pun diselesaikan dengan sah dan sahih).  Kerana itu kita dengan mudah boleh membuat kesimpulan bahawa apa yang diceramahkan oleh beliau itu tentulah benar belaka; bukan satu pembohongan.

Bukan yang sengaja dibuat-buat.  Memang rakyat ingin mendengar reaksi-reaksi lain yang menidakkan kebenaran yang dibawa  oleh YB ini, tapi ini belum ada apa-apa reaksi yang menafikannya secara professional kecuali cerca mencerca dan memburuk-burukkan begitu saja.  Bermakna setakat ini kebenaranlah yang dibawa oleh Yang Berhormat; bukan maki hamun seperti yang ditakrifkan.

KEEMPAT, ialah keberaniannya. Berani kerana benar, bukan berani kerrbau jantan terluka yang hanya asyik hendak menanduk sana-sini sahaja.  Pemberani seumpama ini dalam era yang sebegini rupa di mana-mana sekarang ini memang sulit ditemui.  Seperti kata Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya "Dimanakah Kepincangan Umat Kini?""Sekarang ini kebenaran itu diterima sebagai kemungkaran manakala kemungkaran itu pula diterima sebagai kebaikan".   Dalam era yang sebegini jenis sikap dan penilainya, memang sukar mencari orang yang berani menegakkan kebenaran.  Ada juga yang berani kerana benar, yang diyakini tapi bila tiba untuk berbicara kepada khalayak secara terbuka sepreti yang dibuat oleh Mohamad Sabu, kita jarang-jarang bertemu dalam zaman jenis sekarang ini.

KELIMA ialah stail atau gaya yang dibawanya.  Sekali imbas gayanya agak kasar, pejal dan sememangnya bolos.  Terasa benar ketajaman secara langsung setiap tikaman yang dilakukan dan ini bagi setengah pendengar, terutama yang sememangnya terlibat dalam penyelewengan, memang amat hodoh dan memuntahkan.  Banyak yang menganggap ceramah Mohamad Sabu ini penuh dengan maki hamun tanpa sebarang lapikan lagi.

TAPI, pendekatan ini, bagi saya, disengajakan kerana beliau mengambil perhitungan khalayaknya yang terdiri dari orang-orang kampung yang memang menuntut kelangsungan kerana begitulah pun kesukaan mereka.

Mereka kurang gemar memahami isu sesuatu melalui simbol, citra atau gaya bahsa yang tersirat.

Mereka ingin tahu fe'el-fe'el dan kelakuan pemimpin-pemimpin mereka.  Kalau pemimpin-pemimpin mereka adil dan tidak menyeleweng sewenang-wenangnya, merka menyokong sepenuh hati, untuk itu mereka ingin mendengar sesahihnya perkara itu.  Sumber lain tidak ada pada mereka selain sumber ceramah Mohamad Sabu ini sajalah.  Media massa seluruh negara tak ada yang berani mendedahkan penyelewengan-penyelewengan yang didedahkan oleh Mohamad Sabu.  Oleh sebab itulah kita dapati dalam setiap ceramah tokoh ini, ribuan rakyat bersusah payah datang untuk mendengarnya; termasuk seorang sasterawan macam saya ini sekadar untuk mencari ilham.

KEENAM dan terakhir ialah nada selorohnya.  Meskipunisu-isu yang dibawanya amat seius dan sememangnya penting tapi siu-isu itu selalu didukung oelh nada seloroh yang penuh dnegan kelucuan yang melahirkan keseronokan pula.  Dan selorohnya itu memang tajam dan menghiriskan macam sembilu; terutma kepada penyeleweng-penyeleweng dan anak buah serta suku-sakat mereka.  Nada berseloroh secara berlucu ini bukan sahajamelahirkan suasana yang amat bersahaja tapi berupaya dikekalkannya sepanjang ceramah beliau yang biasanya memakan masa lebih satu jam.  Ribuan pendengar yang hadir kelihatan tidak letih danbosan; malah asyik ketawa macam digeletek.  Dan dicelah-celah suasana seumpama itulah kita dapat saring dan tapiskan kebenaran huja-hujahnya satu persatu dengan bukti-bukti yang sah, yang sampai sekarang masih belum dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Saya dapati sekarang ini amat sulit untuk memperolehi orang-orang yang bercakap terus terang, memenuhi tuntutan-tuntutan seperti yang telah saya huraikan itu.  Yang Berhormat Mohamad Sabu ternyata telah berupaya mengisi kekosongan itu.  Saya yakin masih banyak lagi wujud penceramah-penceramah yang lantang dan bobot dengan fakta dan maklumat yang sukar dipertikaikan seperti yang dibawa oleh Mohamad Sabu itu.

Rakyat memang mengharapkan wujudnya orang-orang yang berani menyatakan yang benar dan membongkarkan yang palsu walaupun banyak rintangan dan banyaknya ranjau dalam perjalanan ini.  Saya amat yakin, keamanan dan keadilan negara boleh tercapai kalau masih ada pemberani-pemberani seperti Mohamad sabu yang menegur secara membina dan kita sewajarnya menerima dan berani pula menilai diri kita; terutama para pemimpin kita yang sedang memegang kuasa sementara itu.  Kita tidak perlu melatah dalam perkara ini.

Kalau tidak, kebenaran yang sepatutnya kekal sebagai kebenaran akan berubah menjadi kemungkaran dan tidak disukai lagi oleh masyarakat.  Dan sebaliknya kemungkaran yang sepatutnya dibuang jauh-jauh akan berubah menjadi kebenaran dan disukai oleh masyarakat.

Sekarang ini, di negara kita, nampaknya bibit-bibit bahawa yang benar adalah yang mungkar dan yang mungkar adalah yang benar mulai berakar di bumi yang subur lagi tercinta ini.  Bibit-bibit itu akan membesar dan berbuah juga akhirnya; seiring dengan kecemerlangan industri dan kegemrincingan korporat.

Sekian.
Harakah 29-05-1995
------------
20061998