Make your own free website on Tripod.com
Date: Sat, 30 Nov 1996 20:26:04 +0000
From: Mohamad : M.W.Ali@sheffield.ac.uk
Subject: HNET* artikel politik

Assalamu'alaikum warahmatuLlah, Apabila perkataan politik disebut orang maka segeralah terbayang pada pemikiran kebanyakan orang satu senario yang digambarkan dengan perebutan kuasa, pertelagahan di antara parti-parti dan acapkali juga, peralihan alliances dan juga tipu muslihat malah treachery.

Hatta kita diketengahkan dengan istilah main politik atau politicking, yang nyata tidak menunjukkan sesuatu yang membayangkan kepercayaan dan setiakawan. Malah seolah- olah menjadi satu penerimaan umum bahawa untuk berjaya di dalam politik seseorang itu harus licik, malah ada kalanya ruthless, dan orang yang dianggap baik dan lurus tidak mungkin ada masa depan dalam politik.

Begitu juga, apabila kita sebutkan "orang politik" maka segera terbayang seseorang yang aktif bergiat di dalam sesebuah parti politik, yang menyeru kepada masyarakat agar mereka menyokong partinya, dan yang berusaha pula agar ia sendiri mempunyai tempat dan kedudukan yang selayaknya di dalam parti itu. Kawan hari ini boleh menjadi lawan esoknya, sehingga-kan terbit kata-kata "a week is a long time in politics". Politik seterusnya dikatakan adalah untuk mereka yang cukup gigih untuk mengharungi segala pancaroba sebegini, hinggalah akhirnya kelak berjaya untuk merealisasikan cita-citanya untuk sampai ke puncak tampuk kekuasaan.

Makhluk-makhluk yang lain tidak relevan lagi dengan politik, melainkan semata-mata sebagai mereka yang dipujuk dan dirayu, ataupun diugut dan diancam, untuk mendapatkan sokongan dan undi, yang akhirnya akan menjadi sebagai sebahagian daripada statistik untuk menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu kumpulan. Seolah-olah sebagai bidak-bidak permainan yang menghasilkan pemenang dan yang kecundang.

Kerana begitulah jadinya permainan politik di dalam masyarakat kini, banyak mereka yang terlibat sudah tidak segan-segan lagi menggunakan kaedah- kaedah yang tidak bermoral bagi mencapai matlamat politiknya. Politik Machiavelli sudah menjadi lumrah bukannya kecualian. Nilai-nilai setiakawan, amanah dan ikhlas tidak lagi berada di dalam kamus mereka. Matawang dan kebendaan menjadi kedua-dua matlamat dan juga alat; politik digunakan untuk meraih kekayaan dan sebaliknya juga, kekayaan digunakan untuk membeli sokongan. Contoh di dalam akhbar baru-baru ini tentang seorang politikus yang mendaftarkan 20 buah syarikat untuk tujuan politiknya menerangkan perkara ini. Lebih serius lagi, kita didengarkan pula dengan tuduhan-tuduhan politik wang yang berleluasa di tanahair hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Namun apakah gerangan yang dikatakan politik ini? Dan sejauh manakah benarnya persepsi popular sebegini?

Istilah "politics" bermakna: * the arts and science of government * public life and affairs as involving authority and government

Istilah "siasah" pula dipinjamkan daripada bahasa Arab dan berasal daripada katadasar "saasa" (sin-alif-sin) yang membawa makna:

to dominate, govern, rule; to lead, guide, conduct, direct; to administer manage, regulate

Rujukan kepada pemerintahan di sini nyata membayangkan kepentingan umum dan bagaimana masyarakat dan negara disusun dan ditadbirkan, lebih daripada siapa menjadi pemimpin.

Di sini nyata kita lihat dua isu ketara dalam pembahasan politik. Pertamanya, fokus politik seperti yang difahami umum kini telah berubah daripada yang dipimpin, yakni masyarakat itu sendiri, kepada yang memimpin, atau mereka yang disebut sebagai politikus. Keduanya, pemahaman mengenai politik telah disempitkan kepada parti-parti politik dan pergelutan kuasa di antara mereka, dengan mengenepikan keluasan kepentingan umum itu sendiri, walaupun tidak dinafikan ada kalanya perkara-perkara seperti polisi, ideologi dan selesaian kepada masalah masyarakat ditaburkan sebagai perencahnya.

Politik dan Kepemimpinan

Tidak sesiapapun dapat menyang-kal bahawa kepemimpinan merupakan unsur penting di dalam politik. Sesuatu masyarakat yang tersusun adalah yang mempunyai kepemimpinan yang dapat membimbingnya ke suatu halatuju yang jelas dan bermakna. Mahu atau pun tidak pemimpin adalah satu keperluan bagi masyarakat, dan di dalam Islam sendiri, menegakkan institusi kepemimpinan atau imarah adalah satu kefardhuan.

Islam begitu jauh berbeda daripada konsep yang dibawakan baik oleh politik moden maupun oleh politik jahiliyyah. Kepemimpinan hanyalah sebagai alat atau jalan, bukan ia sendiri pula yang menjadi matlamat. Kepemimpinan adalah satu tanggungjawab, lantas sesuatu yang dielakkan, sekiranya boleh. Pada masa yang sama, sekiranya terpaksa, ianya dipikulkan dengan penuh amanah dan rasa takut.

Lantaran itu juga, politik di dalam Islam menjadi suatu tanggungjawab dan amanah, untuk membolehkan masyarakat menjalankan fungsinya dengan sempurna, dan bukannya sebagai satu gelanggang pertandingan di antara individu-individu yang bersemarak dengan cita-cita peribadi atau kepentingan kumpulan. Di sini kita lihat kepincangan politik sepertimana yang kita ketahui masa kini. Para politikus bergelut di antara satu sama lain, untuk mencekup kedudukan-kedudukan politik, memandangnya sebagai habuan dan privilege lebih daripada bebanan dan tanggungjawab.

Malah beberapa ahli politik yang masyhur, tanpa merasa cuak mereka mengisytiharkan sejak di bangku sekolah lagi bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri atau Presiden dsb, sepertimana rakannya bercita-cita untuk menjadi doktor dan arkitek. Seolah-olah telah lenyap tujuan asal kepemimpinan itu sendiri.

Fokus ini harus dikembalikan kepada yang sewajarnya, daripada pemimpin kepada yang dipimpin, daripada disibukkan dengan persoalan "siapa ketua" kepada "bagaimana membawa masyarakat ke arah mencapai matlamatnya (yakni, ubudiyyah kepada ALlah)", tanpa mengurangkan kepentingan kepemimpinan dalam masyarakat. Masyarakat harus kerap diingatkan dengan noktah ini.

Politik dan Kepartian

Ini membawa kepada isu yang kedua, kerana persoalan "bagaimana membawa masyarakat ke arah mencapai matlamatnya" adalah sesuatu yang boleh ditangani oleh semua, bukannya pemimpin sahaja. Ini memerlukan penglibatan semua di dalam menangani "isu-isu politik", dan tidak terhad kepada mereka yang berada di dalam lingkungan kepartian semata-mata. Untuk itu kesedaran politik yang meluas haruslah dipupuk di dalam masyarakat. Untuk itu juga masyarakat harus dapat membedakan di antara isu-isu politik umum dengan isu-isu kepartian. Walaupun politik dan parti, dalam suasana politik semasa begitu berkait, kedua-duanya tidak boleh disamakan.

Kekeliruan ini bukan sahaja menjadi ketara dengan pemahaman umum, malah dikuatkuasakan dengan undang-undang. Kita masih ingat lagi adegan lucu di mana seorang Menteri dalam cuba menerangkan betapa pertubuhan- pertubuhan perlu diberikan pengkelasan yang jelas: samada sebagai parti politik, pertubuhan politik atau pertubuhan persahabatan, membawa garfu dan sudu di hadapan kamera TV, sebagai analogi yang padanya sungguh ketara. Namun adakah sebuah organisasi yang dikatakan pertubuhan persahabatan tidak berhak untuk mengeluarkan suara di dalam urusan-urusan yang melibatkan kepentingan rakyat dan masyarakat?

Hak malah kewajiban untuk berpolitik dalam ertikata yang luas bukan sahaja dominasi parti politik, tetapi setiap warga yang yang terkesan dengannya. Menegakkan keadilan dan memperjuangkan kebenaran di dalam masyarakat, dan menyusun masyarakat menurut lunas-lunas ini, merupakan isu pokok bagi politik, dan tentunya tidak harus diserahkan semata-mata kepada parti- parti politik sahaja.

Malah kalau kita perhatikan, institusi politik kepartian merupakan sesuatu yang baru dalam politik, ciptaan politik barat, terutamanya tradisi Westminster, yang begitu menekankan tentang balance of power - lantas konsep pemerintah dan pembangkang - lebih daripada concensus of understanding atau musyawwarah yang ditekankan oleh Islam. Ini memerlukan kumpulan-kumpulan politik yang partisan sifatnya, menekankan semangat kumpulan lebih daripada kebenaran ('asabiyyah?).

Di atas semangat inilah agaknya, Imam Hassan al-Banna menegaskan:

Sesungguhnya perbedaan di antara kepartian dan politik adalah jauh. Kadang-kadang kedua-duanya berhimpun, dan kadangkala berpisah. Kadang-kadang seseorang itu adalah orang politik dengan sepenuhnya, dalam keadaan ia tidak mempunyai parti dan tidak ada hubungan dengannya. Kadang-kadang seseorang itu adalah 'orang parti', dalam keadaan ia tidak mengetahui sedikitpun mengenai perkara politik. Kadang-kadang kedua-duanya berhimpun, maka jadilah ia sebagai 'orang politik dan parti' atau 'orang parti dan politik'. Ketika saya bercakap mengenai siyasah di dalam kalimah ini, yang saya maksudkan hanyalah politik semata-mata, iaitu pandangan terhadap urusan- urusan ummah, dalaman dan luaran, yang tidak terikat dengan parti sama sekali.

Kita tidak menafikan bahawa di dalam suasana realiti politik kini kita tidak dapat lari daripada politik kepartian hatta dalam memperjuangkan Islam dan berdakwah sekalipun. Tetapi dua perkara harus sentiasa ditekankan: pertamanya, semua, baik di dalam parti maupun di luar parti, berhak dan berkewajipan untuk menangani isu-isu politik (dalam ertikata yang luas, yakni yang menyentuh perjalanan masyarakat), dan keduanya, yang turut sama pentingnya, politik, terutamanya politik kepartian, hendaklah tunduk kepada matlamat dan adab dakwah itu sendiri, berada di bawahnya dan bukannya mengatasinya.

Perkara pertama telahpun disentuh sebelum ini. Peri pentingnya perkara yang kedua tidak dapat disanggah lagi. Bagi pendakwah dan pejuang Islam, ia membedakan mereka yang mempergunakan politik kepartian, dengan yang lain yang tenggelam di dalamnya. Kelainan yang memberi makna baru kepada istilah politicking, yang dicernakan bukan sahaja dengan slogan, tetapi juga dengan akhlaq dan keperibadian, diperlengkapkan dengan nilai keadilan dan bukannya expediency dan populism, dan dengan visi yang jauh dan bermakna, yang dapat membawa rahmah kepada masyarakat itu sendiri.

Ia juga mengingatkan mereka bahawa peranan yang mereka mainkan adalah sebahagian sahaja daripada perjuangan itu, dan di luar terdapat beberapa lagi peranan yang perlu dimainkan oleh saudara mereka yang lain. Inilah yang dituntut oleh fikrah dan manhaj Islam itu sendiri. Apatah lagi, fikrah yang menegaskan kesyumulan Islam ini menekankan juga bahawa politik itu hanya sebahagian daripada ad-din, tentunya bahagian yang penting, namun bukan keseluruhannya, dan di sana ada lagi bahagian-bahagian seperti akhlaq, kekuatan, rahmah, keadilan, budaya, perundangan, ilmu, kebendaan, usaha, dakwah, jihad, aqidah dan ibadah, yang harus sama dibangunkan di dalam masyarakat, seperti yang disebutkan oleh Imam Hassan al-Banna di dalam Risalah at-Ta'alimnya.

ALlahu 'alam.

Allah Matlamat Kita
Ainul Lotfi Abdul Latif
University of Warwick, UK.

Pengirim: Mohamad :M.W.Ali@sheffield.ac.uk
Petikan dari :

         *---------------------------------------------------------*
         [ DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG ]
         [~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~]
         [~~ C* ~|   Ke Arah Membina Ummah BerIlmu Dan BerMaklumat ]
         [~ / \ ~|               HIZBI - NET                       ]
         [~(___)~|            Hnet@po.cwru.edu                     ]
         *---------------------------------------------------------*

22071417/03121996