Make your own free website on Tripod.com
Tangani masalah sosial yang semakin kritikal

TUTUP LUBANG MAKSIAT

Oleh MAZLAN JUSOH

TUMPAT:  Kerajaan dianggap tidak bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah sosial
yang begitu parah membabitkan golongan remaja sekarang, sekiranya punca kepada
maksiat masih dibenarkan oleh pemerintah.

Bekas Mufti Selangor, Dato' Ishak Baharom berkata, sebanyak mana seminar, simposium
dan forum diadakan masalah tersebut tetap berlaku tanpa terlebih dahulu menutup lubang
maksiat.

"Selagi pusat snuker, karaoke, pusat pelacuran, permainan video, disko dan kelab malam
dibiarkan beroperasi, selagi itu usaha untuk membendung gejala sosial di kalangan remaja
tidak akan berjaya," katanya pada satu ceramah di Kampung Kubang Batang, dekat sini,
malam Rabu lalu.Padang tempat berlangsung ceramah itu penuh sesak dengan kehadiran
orang ramai.

Turut hadir, wakil rakyat Wakaf Bharu, Haji Ramli Abu Bakar dan anggota Dewan
Undangan Negeri Meranti, Ustaz Nasaruddin Haji Daud.Dato' Ishak berkata, orang yang
mempunyai iman dan berperangai baik tidak akan memasuki tempat-tempat maksiat
tersebut.

"Mereka yang memasuki pusat berkenaan bagi menyubur hawa nafsu semata-
mata."Kerajaan tidak akan berupaya membendung masalah tersebut sampai kiamat
sekalipun sekiranya lubang-lubang maksiat tersebut tidak ditutup," katanya.

Beliau berkata, selepas negara mencapai kemerdekaan, penjualan arak semakin berleluasa
dan kilang arak dibenarkan beroperasi dengan banyaknya.

"Kerajaan macam ini jelas sekali tidak mengikut perintah Tuhan," tambahnya dengan nada
serius.

Menurutnya juga, kerajaan sudah menghabis berjuta-juta ringgit untuk menganjurkan
musabaqah membaca Al Quran dari peringkat negeri ke kebangsaan seterusnya
antarabangsa setiap tahun untuk mendekatkan masyarakat dengan Al Quran.

Bagaimanapun tambahnya, isi kandung Al Quran tidak pernah dihayati oleh kerajaan
seperti yang dibaca oleh qari dan qariah.Sehubungan itu tegasnya, sekiranya rakyat masih
lagi berpihak kepada kerajaan yang tidak mengikut arahan Tuhan dan membiarkan mak-
siat terus berlaku, mereka akan menerima pembalasan di akhirat kelak.

Beliau turut kesal dengan sikap Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Zahir Ismail yang
menolak usul tergempar PAS di Parlimen di bawah peraturan 18 (1) bagi membincangkan
gejala murtad, baru-baru ini.

"Perkara ini masih dipandang ringan sehingga kuman murtad dibiarkan merebak dan ia
tidak boleh kita terima," katanya.