Make your own free website on Tripod.com

Amalan dan Niat

Amalan yang baik mestilah disertai dengan niat yang baik, barulah ia akan mendatangkan natijah yang baik. Tetapi niat yang baik itu mesti dibuktikan dengan amalan yang baik, kerana niat yang baik itu tidak mungkin menjadi baik jika amalan nya sudah terbukti buruk. Umpamanya seorang yang kaki judi atau loteri berniat hendak menunaikan haji dengan duit hasil judi itu, niatnya yang baik tidak akan menghalalkan perbuatan yang diharamkan oleh Allah Ta'ala itu, dia tetap berdosa kerana perbuatannya yang maksiat.

Sesuatu perbuatan yang baik belum diketahui kebaikannya kerana orang tidak akan mengetahui niat seseorang sama ada dia berniat semata-mata kerana Allah atau mereka hanya mencari kebanggaan dan riyak iaitu hendak menunjuk-nunjuk. Tetapi seseorang boleh menilai atau membuat kesimpulan niat buruk seseorang apabila terbukti perbuatannya buruk.

Bagaimanakah seseorang atau suatu puak mendakwa dia berniat baik sedangkan dengan terang amalan zahirnya bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah. Misalnya suatu puak mendakwa meraka juga adalah pembela islam atau hendak mempertahankan islam sedangkan secara terang-terangan mereka menolak hukum Allah. Misalnya mereka menghalalkan judi dengan mengeluarkan lesen judi sehingga ada istilah judi haram dan judi berlesen, kemudian mereka letakkan papan kenyataan dipremis judi dengan amaran "Berjudi adalah haram disisi islam". Amaran seperti itu tidak berguna selagi mereka masih mengeluarkan lesen judi.

Golongan itu sudah diketahui niat buruk nereka apabila terang-terang mereka menolak hukum Allah dari dilaksanakan di dalam negara mereka. Mereka tidak boleh menutup keburukan yang telah terbukti dengan hanya mengadakan program yang dibuat atas nama islam atau berslogan islam kerana Abu Jahal semasa jahilliyaah dahulu juga melakukan tawaf kemudiannya mereka menyembah berhala yang berada disekeliling kaabah itu.

Keadaan Abu Jahal itu tidak ada bezanya dengan orang yang mengadakan banyak masjid tetapi mereka juga mengeluarkan lesen judi. Mereka mengadakan program yang berslogankan islam tetapi apabila hukum islam hendak dilaksanakan lidah merka dengan lantang menolak hukum Allah dengan berbagai dalih dan alasan yang remeh.

Jika orang yang melakukan amal yang baik tetapi niatnya tidak ikhlas akan menerima balasan buruk dari Allah Taala, betapa pula mereka yang dengan terang amalan serta niatnya sememangnya buruk. Kepada Allah jua terserah segala balasan.

Sumber : Tazkirah TG Nik Abdul Aziz Nik Mat Persiapan Menghadapi Maut
Siri 4 Melihat Qiamat dari Jendela Al-Quran ms 5-6.
05-08-1417 / 16-12-1996